Tingkah Laku Pemuda Ini Menyebabkan Terdetik Dihati Ibunya Yang Anaknya Itu Akan PERGI Selamanya…..KEMAMAN – “Ambil ke mok (mak) semualah tunggakan gaji Amin. Amin tak mboh (tak nak) kerja doh. Mok tolong pegang sekali IC (kad pengenalan) Amin.”

'Mok tolong pegang IC Amin..'

Itu antara pesanan akhir buruh kilang sawit Padang Kubu, Mohd Syahrul Amin Abdullah, 21, kepada ibunya sebelum maut dalam nahas melibatkan motosikal dan lori di Kilometer 27.5, Jalan Chukai-Air Putih di Kampung Dadong, malam kelmarin.

Kemalangan lebih kurang jam 8 malam itu menyebabkan mangsa yang beralamat di Kampung Tersusun Lubuk Lesung, Kijal dan menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z cedera parah di kepala serta meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seolah-olah dapat merasakan dirinya akan pergi buat selamanya, mangsa yang mesra membahasakan dirinya Amin sempat mengusap rambut ibunya, Che Ku Zainab Che Embong, 54, ketika mereka sedang berehat di rumah pada waktu tengah hari, beberapa jam sebelum kemalangan berlaku.

Che Ku Zainab berkata, dia menyedari kelainan tingkah laku anak bongsunya yang sangat manja dengannya itu sejak tiga hari lalu hingga turut terdetik di hatinya yang anaknya itu akan pergi selamanya.

“Amin dari kecil lagi sokmo (acap kali) sebut ‘biar Amin mati dulu.. Amin dok (tak) sanggup mok tinggal Amin, biar Amin tinggal mok’.

“Hari ini apa yang disebutnya benar-benar jadi nyata. Walau ujian ini sangat berat namun kami sekeluarga reda. ALLAH SWT lebih sayangkannya,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman, awal pagi semalam untuk menuntut jenazah anak kesayangannya itu.”

Ibu enam anak ini berkata, Allahyarham anaknya itu juga sempat berpesan agar melangsaikan semua bayaran kutunya yang masih berbaki lima bulan sebaik sahaja tunggakan gajinya diperoleh pada 7 September depan.

“Dia beriya-iya nak berhenti kerja hingga minta tolong kawannya buat surat berhenti dua hari lepas. Waktu mokcik (makcik) tanya sebab apa nak berhenti pada hal dia kerja lama dah, gaji pun dah RM2,000, dia jawab tak mboh kerja dah, cukup dah.

“Siang tadi juga dia minta buatkan puding telur dan mokcik buat. Banyak dia makan.. hampir separuh loyang puding dia makan sorang,” katanya yang juga Ketua Wanita Umno Cawangan Lubuk Lesung.

Malahan, Che Ku Zainab berkata, ketika kemalangan Amin dalam perjalanan berjumpa sahabat dan rakan sekampungnya kerana sebelum keluar rumah anaknya itu memberitahunya bahawa dia teringin sangat berjumpa semua temannya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kemaman, Pemangku Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari arah sama iaitu dari Chukai menghala ke Air Putih.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal yang ditunggang mangsa  terlanggar belakang sebelah kanan lori yang sedang membelok masuk ke simpang di sebelah kanan jalan.

“Namun, pihak polis masih jalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.