TINDAKAN Warga Emas Ini Menyebabkan Seorang Pemuda CEDERA PARAH

| July 27, 2015 | 0 Comments

TINDAKAN Warga Emas Ini Menyebabkan Seorang Pemuda CEDERA PARAH…ALOR SETAR- Seorang warga emas bukan sahaja enggan melunaskan tunggakan sewa rumah yang didiaminya malah tergamak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah lima pemuda di Kampung Baru Bakar Kapur, Kuala Kedah di sini semalam.

hf

k4l

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika mangsa bertemu suspek untuk memungut sewa itu, mengakibatkan anak pemilik rumah, Khairul Izzat Mohd. Zaki, 22, cedera parah apabila melecur di muka, badan dan tangan.

Seorang rakannya, Mohd. Sufri Zulkifli, 19, pula melecur di leher manakala tiga lagi mangsa iaitu dua adik Khairul Izzat, Hasbullah Mohsin, 19, dan Ahmad Humaidi, 11, serta sepupu mereka, Loqman Hakim Said, 22, hanya cedera ringan.

Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini namun hanya dua mangsa mendapat rawatan di hospital iaitu Khairul Izzat dan Mohd. Sufri, sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ibu kepada Khairul Izzat, Salmah Salleh, 51, mendakwa, sebelum kejadian dia bersama tiga anak, beberapa ahli keluarga dan rakan anaknya dengan ditemani Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bakar Kapur, Saad Bakar pergi ke rumah yang didiami suspek kira-kira pukul 5 petang.

“Kami pergi ke sana untuk berbincang dengan penyewa tentang tunggakan sejak Februari lalu sebanyak RM150 sebulan namun suspek tidak ada di rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSB semalam.

Dakwanya, mereka menunggu selama hampir sejam dan mengambil keputusan untuk pulang kerana mempunyai urusan lain selepas suspek tidak muncul.

“Saya dan beberapa orang beredar kecuali anak-anak, ahli keluarga dan beberapa rakan mereka yang terus menunggu suspek di sana.

“Ketika dalam perjalanan pulang, saya terdengar orang menjerit sebelum berpatah balik dan terkejut apabila melihat anak-anak saya dan dua yang lain berada di dalam sungai berhampiran seperti orang kepanasan,” katanya.

Salmah berkata, rakan-rakan anaknya yang berada di tempat kejadian memberitahu suspek baru pulang ketika itu dan masuk ke dalam rumah sebelum menyimbah mereka dengan sejenis cecair dipercayai asid yang disimpan dalam botol plastik.

Salmah yang menetap di Taman Kota Nelayan di sini mendakwa, suspek menyewa rumahnya itu sekitar bulan Ogos tahun lalu dengan kadar RM150 sebulan.

“Apabila saya atau ahli keluarga yang lain datang minta duit sewa, suspek sering memberikan alasan untuk mengelak malah turut bercakap kesat termasuk mengugut kami,” dakwanya.

Dalam pada itu, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Rohana Omar, suspek yang juga seorang pesawah ditahan kira-kira pukul 7.30 malam semalam dan direman hingga 29 Julai.

“Suspek yang berusia 63 tahun ditahan di rumah berkenaan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Tags: , , ,

Category: Tempatan

About the Author ()

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *