EMPAT Beradik Hilang Ayah,Ibu Dan Nenek Dalam Sekelip Mata

| July 26, 2015 | 0 Comments

EMPAT Beradik Hilang Ayah,Ibu Dan Nenek Dalam Sekelip Mata…Tarikh 9 Syawal pastinya memahat memori yang sukar dilupakan buat pelajar tingkatan lima, Nuramira Shahira Mohd. Nazeri kerana kehilangan ayah, ibu serta neneknya dalam sekelip mata kerana terlibat nahas kemalangan jalan raya di Kilometer 24, Jalan Teluk Intan-Chenderong Balai, malam tadi.

image

 

Kejadian yang berlaku pukul 8.20 malam itu meragut nyawa bapanya, Mohd. Nazeri Abdul Razak, 45; ibu, Norzuwida Ahmad Tarmizi, 41, dan neneknya, [email protected] Ibrahim, 71; ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang beraya di rumah saudara di Taman Seri Selamat, Sitiawan.

 

Lebih memilukan, tiga adiknya iaitu Nuramira Shafika, 15, Muhammad Aiman Haziq, 8, dan Muhammad Danial, setahun sebulan yang turut berada dalam kenderaan berkenaan, juga mengalami kecederaan.

 

Nuramira Shafika dan Muhammad Aiman Haziq masing-masing dirawat di Hospital Teluk Intan. Adik bongsunya, Muhammad Danial pula dilaporkan stabil setelah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Paediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

 

Berita kemalangan itu bagaimanapun hanya diketahui Nuramira Shahira setelah dimaklumkan oleh seorang warden asrama ketika berada di Kolej Vokasional Kuala Kangsar pada pukul 9 malam semalam.

 

“Kali terakhir bertemu dengan mak dan ayah ketika mereka menghantar saya semula ke asrama pada hari raya kelima.

 

“Saya sempat menelefon ibu semalam tetapi tiada sebarang pesanan akhir yang ditinggalkan,” katanya ringkas tetapi dilihat cukup tabah menghadapi dugaan Ilahi setelah mereka empat beradik menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.

 

Suasana pilu mula terasa di pekarangan rumahnya di Kampung Raya di sini apabila jenazah selamat tiba dibawa pulang dari hospital setelah selesai proses bedah siasat.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan turut melawat keluarga mangsa.

 

Rakan-rakan sekolej Nuramira Shahira juga hadir dengan menaiki sebuah bas serta mengiringi jenazah keluarganya ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Damai di sini.

 

Menurut ibu saudara Nuramira Shahira yang menetap bersebelahan dengan rumahnya, mereka berkonvoi dua kereta untuk pergi beraya di Sitiawan, namun, keluarga berkenaan pulang awal terlebih dahulu kerana Nuramira Shafika ada berjanji untuk bertemu dengan rakannya.

 

“Memang setiap tahun, kami akan pergi beraya dengan dua kereta ke sana. Pada hari raya tahun lepas, mereka juga ada terlibat dalam kemalangan kecil apabila kenderaan dinaiki terbabas sedikit berdekatan Penjara Tapah,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, kejadian berlaku ketika kereta Proton Wira yang dinaiki keluarga mangsa telah dilanggar oleh sebuah treler yang dipandu oleh lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Chenderong Balai menuju ke Teluk Intan.

 

Beliau berkata, treler berkenaan telah terbabas ke kiri bahu jalan sebelum naik semula ke atas jalan sekali gus memasuki laluan bertentangan lalu melanggar kereta mangsa ketika cuaca hujan.

Tags: , , ,

Category: Kemalangan

About the Author ()

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *